Saturday, March 1, 2008

1.0 Maksud etika

Perkataan etika berasal dari perkataan Greek – ethos, yang bermaksud “keperibadian” atau “sikap berkumpulan atau berkomuniti”.[1]

Kamus Oxford menafsirkan etika – a science that deals with moral correctness, satu ilmu mengenai kelakuan yang baik.[2]

Kamus Webster pula mendefinisikan etika – satu disiplin berkaitan perkara baik dan buruk dan berkaitan tanggungjawab dan kewajipan.[3]

Sarjana pengurusan mendefinisikan etika – sains moral ( science of morals ) dan prinsip-prinsip moral ( moral principles ) yang mana ia bertanggungjawab menentukan sesuatu tindakan seseorang samada baik atau buruk. Dalam erti kata lain mematuhi nilai moral.[4]

Etika juga merupakan satu konsep yang berhubung kait dengan penilaian terhadap satu perlakuan atau tindakan. Etika boleh juga diertikan sebagai satu sistem peraturan yang menyusun atau mengatur kedudukan nilai-nilai. Apa yang lebih penting, ia menjadi asas kepada perhubungan serta bagaimana ia menghendaki orang lain bertindak terhadap dirinya.[5]

2.0 Sumber-sumber nilai etika

Pengurus dalam mana-mana masyarakat dipengaruhi oleh empat punca utama dalam membentuk nilai-nilai etika yang mana ia memberi tekanan yang berbeza dalam mengawal para pengurus. Sumber-sumber tersebut ialah agama, falsafah, pengalaman budaya, dan undang-undang.[6]

2.1 Agama

Agama merupakan sumber tertua kepada nilai etika. Sebagai contoh, para pengurus yang beragama Islam akan terikat dengan nilai-nilai yang digariskan di dalam Al-Qur’an dan apa yang telah diajar oleh Nabi Muhammad S.A.W. melalui hadis baginda. Para pengurus yang beragama Kristian pula akan menggunakan kitab Injil sebagai pembimbing mereka. Mengikut kajian sebagaimana yang dilaporkan oleh Steiner et al. (2000), para eksekutif di 100 syarikat terbesar di Amerika Syarikat, sebanyak 65 peratus daripada mereka menghadiri gereja. Selain itu, banyak syarikat di Amerika Syarikat cuba memasukkan ajaran-ajaran keagamaan ke dalam operasi mereka.[7] Kajian ini menunjukkan bahawa agama memainkan peranan penting dalam membentuk etika yang murni.

2.2 Sistem falsafah

Ianya bermula lebih 2000 tahun yang lalu yang mana dalam tempoh tersebut dikemukakan pandangan dan pemikiran baharu dalam menilai etika. Pandangan dan pemikiran tersebut tidak diterima dengan mudah di mana ia melibatkan perbahasan antara pemikir etika di setiap zaman dalam menilai samada betul atau salah sesuatu tindakan yang diambil apabila wujudnya penambahan nilai-nilai baru dalam etika. Sebagai contoh, ahli-ahli falsafah Greek pada zaman ahli falsafah Homer telah membincangkan tanggungjawab yang perlu dilakukan oleh masyarakat pada waktu itu seperti pahlawan, ahli perniagaan, petani, rakyat biasa dan raja. Perkara yang sama juga dilakukan oleh ahli-ahli falsafah selepas itu seperti Socrates, Plato, Aristotle, dan ahli-ahli pemikir yang seterusnya apabila berlaku perubahan dan pandangan yang berbeza. Hal yang

sama juga dilakukan oleh ahli-ahli falsafah Timur yang telah membuat kajian tentang bagaimana membuat sesuatu yang baik dan mengelak daripada melakukan sesuatu yang jahat. Hal ini dibuktikan dalam salah satu falsafah Cina, “Perkara yang tidak mahu berlaku ke atas kamu, jangan kamu buat terhadap orang lain”. Berdasarkan perkara di atas, perbahasan tentang etika telah berlaku samada di negara Barat atau nagara Timur.[8]

2.1 Pengalaman budaya

Setiap budaya menyebarkan satu set nilai tradisional, undang-undang, dan tahap yang menetapkan kelakuan yang boleh diterima atau pun tidak. Contoh yang dapat kita lihat ialah perubahan yang berlaku dalam kehidupan manusia secara umum. Manusia pada peringkat awal ketamadunan, mereka hidup berburu dan mengumpul apa sahaja yang terdapat di sekeliling mereka untuk meneruskan kehidupan. Nilai-nilai etika yang terbentuk pada waktu itu sesuai dengan situasi tersebut di mana mereka bersedia untuk bertarung untuk meneruskan kehidupan dalam serba kepayahan. Dalam situasi ini, yang lebih gagah akan berjaya. Perubahan seterusnya berlaku menuju ke zaman pertanian dan zaman perindustrian. Nilai-nilai etika mula berubah dan perubahan ini biasanya biasan terhadap berlakunya perubahan terhadap institusi, intelek dan perubahan ekologi persekitaran.[9]

2.2 Sistem perundangan

Undang-undang merupakan peraturan yang diwujudkan oleh kerajaan yang berautoriti. Biasanya, kerajaan akan merekodkan etika yang diharapkan dan biasanya dan biasanya kod-kod etika ini akan berubah apabila gejala-gejala tidak sihat berlaku. Tiga bentuk tindakan yang biasa dikenakan terhadap perbuatan yang salah dengan undang-undang ialah mendenda, diarah membayar pampasan oleh mahkamah, dan menghukum pengurus yang melakukan tindakan tidak beretika.[10]

3.0 Teori etika

Ia terhasil dari pemikiran ahli-ahli falsafah, para cendiakawan, dan ahli-ahli pengurusan. Umumnya, teori ini memberi garis panduan kepada para pengurus yang membolehkan mereka membuat sebarang keputusan yang boleh bertahan berdasarkan penelitian etika.[11]

Antara teori-teori tersebut ialah :

3.1 Teori utilitarianisme

Teori ini hanya berhubung dengan akibat sesuatu tindakan tanpa mempedulikan maksud sesuatu tindakan. Sebagai contoh, sekiranya seorang pengurus atau organisasi terlibat dalam sesuatu projek, tindakannya akan dinilai samada baik atau buruk berdasarkan hasil dari projek tersebut. Sasarannya ialah untuk memastikan terdapat faedah untuk masyarakat dengan kerugian atau kerosakan yang minimum.[12]

3.2 Pendekatan deontologikal

Pendekatan ini menetapkan bahawa sesuatu tindakan bukan alasan dari segi akibat dan hasil mereka, walaupun tindakan tersebut mempunyai nilai pada asasnya. Contohnya, sesetengah tindakan mungkin dari segi moralnya adalah salah, tidak kira sebaik mana hasil yang diperoleh. Oleh sebab itu, Michael J Segon menjelaskan bahawa sebarang tindakan harus berpandukan kepada pendekatan yang diambil dalam membuat keputusan.[13]

3.3 Etika egoisme

Teori ini tertumpu kepada individu. Sebaris dengan kapitalisme, ia menyatakan bahawa individu harus menggunakan sumber secara optimum untuk manfaat dirinya sendiri. Sedemikian itu, kita lihat masyarakat menghabiskan masa yang lama semasa bekerja, memperkenal apakah kehendak pasaran, dan sentiasa merebut peluang. Oleh sebab itu, teori ini menyatakan bahawa sesuatu tindakan mendatangkan faedah yang lambat kepada seseorang, ini adalah benar dan oleh sebab itu ia termasuk dalam etika. Ianya mudah untuk dilihat bahawa teori ini bercanggahan dengan teori yang lain.[14]

4.0 Enam sistem etika utama yang menyumbang kepada pemikiran etika.

Terdapat enam sistem etika pada masa kini yang menyumbangkan kepada pemikiran etika moden[15] :

4.1 Relativisme - keputusan bererika yang dibuat berdasarkan kepada kepentingan diri sendiri.

4.2 Utilitarianisme - keputusan beretika yang dibuat berdasarkan hasil keputusan ini ( perkiraan pelaburan dan keuntungan ). Sesuatu tindakan dianggap beretika sekiranya keputusan yang diperolehi mendapat keuntungan yang besar bagi orang ramai dalam jumlah yang besar.

4.3 Universalisme - keputusan beretika yang menekankan maksud sesuatu keputusan atau tindakan. Setiap orang berada dalam situasi yang sama patut mendapat keputusan yang sama.

4.4 Hak - keputusan beretika yang menekan nilai perseorangan; kebebasan, dan berdasarkan kepada hak individu dan memastikan kebebasan dalam memilih.

4.5 Pembahagian yang adil - keputusan beretika yang menekankan nilai perseorangan; keadilan, dan memastikan pembahagian kekayaan dan faedah secara samarata.( adil dan saksama )

4.6 Undang-undang kekal - keputusan beretika yang dibuat berdasarkan undang-undang kekal – yang telah didedahkan di dalam kitab-kitab suci.

Relativisme

Ia menekankan kepentingan diri seseorang individu. Ia juga membayangkan keberatan dalam menerima sebahagian keputusan yang dibuat, kerana mereka boleh atau tidak melakukan sesuatu perbuatan dengan melihat kepada kepentingan mereka sendiri. Islam mengambil pendekatan yang berbeza di atas dua perkara.

a. Islam menekankan bahawa nilai dan sikap individu yang beretika mesti berdasarkan kepada criteria yang termaktub di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

b. Islam tidak menggalakkan keputusan berdasarkan ke atas pandangan seorang individu sahaja dalam sesuatu situasi, sebaliknya menggunakan konsep perundingan atau Shura antara satu sama lain yang pada asasnya sebahagian daripada cara untuk membuat sesuatu keputusan bagi ahli perniagaan yang beragama Islam. Egoisme tidak ada tempat di dalam Islam.[16] Firman Allah s.w.t. (45:23) :

23. Dengan yang demikian, bagaimana fikiranmu (Wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan dia berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?

Utilitarianisme

Secara umumnya tertumpu kepada hasil sesuatu tindakan. Apa sahaja yang baik untuk majoriti, ia dikatakan beretika. Dalam melihat kepada bagaimana rumit sistem ini, terdapat beberapa aspek yang perlu diambil untuk dipertimbangkan.[17]

a. Siapakah yang menentukan apa yang terbaik untuk majoriti?

b. Apakah perkara yang perlu dipertimbang untuk golongan minoriti?

c. Perkara-perkara luar jangkaan seperti kesihatan perlu diambil kira dalam pelaburan dan keuntungan.

d. Hak individu diketepikan dalam menyokong hak bersama sesuatu majoriti.

e. Sistem ini memastikan sifat etika semulajadi pada masa akan datang dinilai melalui pelaburan mereka berlawanan dengan keuntungan mereka, dan boleh dibawa dengan mudah secara keterlaluan. Pada hakikatnya, dunia perniagaan Amerika merupakan contoh terbaik di mana garis dasar yang merencana sesuatu keputusan di dalam bilik lembaga berlawanan dengan kepentingan beretika mereka.

Bertentangan dengan pendekatan mikroekonomi dalam etika perniagaan, mendapat keuntungan yang maksimum sepatutnya bukan matlamat utama perniagaan dalam Islam. Firman Allah s.w.t (18:46):

46. harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

Universalisme

Berlawanan dengan Utilitarianisme, ia memberi tumpuan kepada maksud sesuatu tindakan atau keputusan. Kepentingan sistem ini memberi tumpuan kepada tanggungjawab seseorang individu terhadap individu yang lain.[18]

Walaubagaimana pun, maksud yang baik sahaja tidak boleh menjadikan yang tidak beretika menjadi beretika. Seperti yang dikatakan oleh Yusuf al-Qardawi, “maksud atau matlamat yang baik tidak menjadikan yang haram boleh diterima.” Apabila seseorang Muslim melaksanakan sesuatu niat yang baik dengan tindakan yang dibenarkan, tindakannya itu akan menjadi satu ibadah.[19]

Tambahan lagi, sekiranya tindakan tersebut haram, maka Islam tidak membenarkan tindakan tersebut digunakan sebagai maksud untuk mendapat kebaikan. Sekiranya seseorang mendapat harta secara haram dan membuat kebajikan dengan menggunakan harta tersebut, dia tidak mendapat sebarang faedah dari kebajikan tersebut dan bebanan dosa masih kekal.[20]

Hak

Untuk menjadi pertimbangan yang beretika, semua keputusan dan tindakan mesti berdasarkan ke atas hak individu dalam memastikan kebebasan memilih. Pendekatan ini mencadangkan setiap individu mempunyai hak yang tidak boleh dipertikai. Seorang pekerja harus boleh mengharapkan gaji yang bagus dan suasana bekerja yang bersih. Demikian juga dengan pengurus yang sama mengharapkan perniagaannya dilindungi.[21]

Pendekatan ini boleh disalahgunakan. Sesetengah individu mungkin akan memaksa hak mereka diambil keutamaan berbanding mereka yang lain. Contohnya dapat dilihat di Amerika Syarikat yang mempunyai masalah dengan undang-undang kawalan senjata api terhadap mereka yang tidak mempunyai senjata api yang mempunyai masalah dengan masyarakat yang menginginkan keselamatan di jalanan.[22]

Berbeza dengan pandangan barat, Islam adalah kebebasan. Firman Allah s.w.t. (2:256) :

256. tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Islam, walaubagaimana pun, adalah untuk keseimbangan dan menolak tanggapan atau idea mengenai kebebasan tanpa sebarang bangkangan dan bantahan. Oleh sebab itu, kebebasan yang utama dicapai dengan penyerahan diri kepada Allah. Dengan itu, apabila seseorang itu beriman kepada Allah dan hidup dengan berpandukan perintah dan suruhan Allah s.w.t, dia akan mencapai kepuasan yang berlainan. Islam membebaskan Muslim daripada perhambaan kepada sesuatu atau seseorang melainkan Allah.

Pembahagian yang adil

Ia adalah satu sistem yang bergerak di sekitar satu nilai iaitu adil. Sebelum dikatakan sebagai beretika, keputusan dan tindakan yang diambil harus dipraktikkan dengan adil untuk mempastikan pembahagian kekayaan, faedah, dan harta benda dilakukan secara sama rata.

Terdapat lima prinsip yang digunakan untuk memastikan pembahagian ini sesuai[23] :

a. Perkongsian yang adil

b. Mengikut keperluan seseorang

c. Mengikut usaha seseorang

d. Berpandukan sumbangan sosial

e. Berpandukan kepada kewajaran

Berdasarkan Al-Quran, semua para rasul yang diutuskan membawa ajaran yang menekan mengenai keadilan. Firman Allah s.w.t (57:25) :

25. Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan Kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.

Prinsip Islam dalam pembahagian secara adil termasuk[24] :

a. Setiap orang mempunyai hak terhadap hartanya.

b. Golongan yang tidak berkemampuan boleh menuntut sebahagian harta yang dikumpul oleh mereka yang kaya sekadar memenuhi keperluan asas seseorang.

c. Eksploitasi dalam sebarang tahap, bentuk, dan keadaan adalah bertentangan dengan Islam dan di mana sahaja ia dipraktikkan, ia mesti dihentikan.

Islam pada umumnya bersetuju dengan pendekatan ini, tetapi mesti dalam keadaan yang seimbang. Kesimpulannya, adil pada pandangan Islam tidak boleh diubahsuai mahupun ditokok tambah berdasarkan tahap keistimewaan yang tersendiri.

Undang-undang kekal

Keputusan yang dibuat berasaskan undang-undang kekal telah didedahkan dalam kitab-kitab suci dan fitrah semulajadi. Ramai penulis percaya, dengan mengkaji kitab suci atau alam semulajadi, manusia boleh menjadi orang yang beretika hasil dari kesedaran[25].

Berdasarkan Al-Quran, surah 96:1-5; 68:1-2; 55:1-3, Taha Jabir al-Alwani menyimpulkan bahawa Allah telah menetapkan kepada manusia agar melakukan dua jenis pemerhatian secara serentak : pemerhatian terhadap ayat-ayat Al-Quran dan pemerhatian terhadap alam semulajadi. Sesiapa yang hanya memerhati ayat-ayat Al-Quran sahaja, seperti pemerhatian secara membuta tuli akan menyebabkan seseorang itu tidak mampu untuk berfikir secara terbuka dan bebas. Bagi yang terlalu menekan pemerhatian terhadap alam semesta sahaja, ia boleh menyebabkan seseorang tidak mampu untuk menjawab “soalan yang paling hebat” dan umumnya mereka mengenepikan sesuatu yang berada di luar kemampuan mereka seperti persoalan alam ghaib.[26]

Melalui dua pemerhatian ini dapat disimpulkan, cara Islam tidak seperti cara yang disarankan oleh agama lain. Islam tidak menyarankan untuk mengasingkan diri dari kehidupan dunia dengan menekankan sifat warak dan melakukan meditasi., tetapi menekankan agar berusaha dengan gigih untuk hidup di dunia ini.

Dalam usaha tersebut, seseorang Muslim mestilah ingat agar menyelaraskan tindakannya antara solat dan kehidupan sehariannya. Mematuhi lima rukun Islam tidak cukup untuk seseorang Muslim, dia juga perlu mematuhi etika dalam Islam.

Pandangan Islam terhadap ‘pembahagian yang adil’ termasuk tiga elemen berikut[27] :

a. Jaminan dalam memenuhi keperluan asas kepada semua.

b. Kesamarataan tetapi bukan samarata dalam pendapatan perseorangan.

c. Penghapusan ketidaksamarataan yang melampau dalam pendapatan perseorangan.

5.0 Ciri-ciri nilai dan etika dalam pengurusan Islam[28]

5.1 Kebenaran

Ianya berasaskan kepada iman dan taqwa yang mana betul dari sudut niat, perkataan, tingkah laku, tindakan dan dalam melaksanakan tugas. Firman Allah s.w.t. (9:119)

119. Wahai orang-orang yang beriman! bertaqwalah kamu kepada Allah, dan hendaklah kamu berada bersama-sama orang-orang yang benar.

5.2 Kemuliaan

Manusia yang paling mulia di sisi Allah s.w.t ialah mereka yang bertakwa, bukan yang mempunyai pangkat, kuasa, gelaran, kedudukan, dan sebagainya. Firman Allah s.w.t (49:13)

13. Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).

Jawatan pengurusan samada pengurus, pengarah, ketua jabatan, atau sebagainya harus mengutamakan ciri iman dan taqwa dari sudut Islam di samping kelayakan akademik, kepakaran, kemahiran, pengalaman dan sebagainya.[29]

5.3 Kebaikan

Kebaikan yang dikehendaki oleh Islam sebagai nilai dan etika dalam pengurusan ialah berdasarkan kepada sifat ikhlas, benar, amanah, berdisiplin dan belas kasihan.[30]

5.4 Ihsan

Dari satu segi, ia membawa maksud bahawa Allah s.w.t. melihat segala perbuatan manusia samada secara terang atau sembunyi. Oleh itu, seseorang kakitangan pengurusan harus merasakan setiap tindakannya diperhatikan oleh-Nya.[31]

Dari segi yang lain, ia membawa maksud belas kasihan, baik hati, dan bertimbang rasa dalam pengurusan organisasi. Allah s.w.t. telah menjanjikan syurga kepada mereka yang mempunyai sifat ini. Firman Allah s.w.t. ( 10:26)

26. untuk orang-orang yang berusaha berbuat baik(ihsan) dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya

.5.5 Keadilan

Dari segi bahasa bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya. Dari segi istilah bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya berdasarkan kepada ketentuan akidah, syariah, dan akhlak serta bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah. Ianya meliputi kepada diri sendiri dan orang lain.[32]

Dalam bidang pengurusan organisasi, keadilan itu meliputi semua hal dan bidang samada dari segi peraturan, undang-undang, nilai, etika, pemilihan calon, agihan kerja dan gaji.[33]

5.6 Amanah

Amanah ialah nilai dan etika pengurusan yang diutamakan oleh Islam. Islam menegaskan perancangan dalam pengurusan mestilah adil, jujur, dan adil. Dalam Islam, berani memberi teguran secara bijaksana ( hikmah ) termasuk dalam sifat amanah. Teguran tersebut mestilah bersifat dua hala. Pihak atasan mesti membimbing dan memberi teguran kepada pihak bawahan dan begitu juga sebaliknya.[34]

5.7 Kesederhanaan

Kesederhanaan digalakkan oleh Islam dalam semua hal. Malah Islam itu sendiri merupakan agama yang sederhana, pertengahan, dan umatnya menjadi teladan kerana kesederhanaannya. Ianya digalakkan oleh Islam dalam semua perkara termasuk ibadat khusus dan umum. Solat, sedekah, perbelanjaan, pertuturan, perbuatan, pemakaian, makanan dan sebagainya wajar dilaksanakan secara sederhana.

Firman Allah s.w.t. (17:110) :

110. Katakanlah (Wahai Muhammad): "Serulah nama " Allah" atau nama "Ar-Rahman", Yang mana sahaja kamu serukan (dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia". dan janganlah Engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara, yang sederhana antara itu.

5.8 Keberanian

Dalam Islam, ianya diperlukan dalam pengurusan organisasi. Ia seharusnya disertai dengan keimanan dan keyakinan kepada Allah s.w.t. untuk menegakkan keadilan dan mencegah perkara mungkar.[35] Firman Allah s.w.t ( 34:23) :

Ÿ

23. dan tidak berfaedah syafaat di sisi Allah kecuali bagi orang yang telah diizinkan Allah, (maka orang-orang yang hendak memohon syafaat terpaksa menunggu izin itu dengan penuh perasaan takut dan bimbang) sehingga apabila dihapuskan Allah perasaan takut dari hati mereka (dengan pemberian izin itu) bersukarialah mereka dengan bertanya-tanyaan sesama sendiri: "Apakah yang telah dititahkan oleh Tuhan kamu?" sebahagian di antara mereka menjawab: "Tuhan telah menitahkan kebenaran"; dan Dia lah jua Yang Maha Tinggi keadaannya, lagi Maha Besar kekuasaanNya.

5.9 Berdisiplin

Islam juga menjadikan disiplin sebagai nilai dan etika yang penting dalam organisasi pengurusan. Yang dimaksudkan dengan berdisiplin ialah berusaha dengan gigih, berdedikasi, bersungguh-sungguh dan tekun dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab. Selepas itu, barulah bertawakal kepada Allah s.w.t. Semestinya kesungguhan bekerja itu memberi kesan kepada kepatuhan jadual kerja, peraturan, menghormati masa dan sebagainya yang termasuk dalam bidang berdisiplin.[36]

5.10 Tepati janji

Seseorang kakitangan wajib menunaikan janji jika membuat temujanji atau menyempurnakan tugas atau menyerahkan hasil kerja yang ditetapkan tepat pada waktunya. Tidak menepati janji amat ditegah dalam Islam dan dianggap sebagai pecah amanah, melakukan penganiayaan dan memutuskan harapan orang.[37] Firman Allah s.w.t. ( 23:8) :


8. dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;

5.11 Menghargai masa

Masa lebih berharga dari emas kerana dalam masa itulah manusia boleh melakukan kebaikan, kebajikan, meningkatkan keimanan, beramal soleh, nasihat-menasihati, melakukan kebenaran dan banyak bersabar khususnya ketika melaksanakan tugas dan tanggungjawab pengurusan organisasi.[38]

Firman Allah s.w.t. (103:1-5) :


1. Demi Masa! 2. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian -3. kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

5.12 Kesabaran

Sabar ialah ketahanan rohani dan jasmani untuk melaksanakan perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sabar dari satu segi ialah ketabahan menghadapi kesusahan dan kecekalan dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Dalam pengurusan organisasi, masalah dan cabaran adalah asam garam yang tidak dapat dielakkan. Firman Allah s.w.t. (31:17) :

17. "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat melakukannya.

Dari segi lain ia membawa maksud keteguhan ilmu yang berkaitan dengan kudrat dan iradat Allah s.w.t. yang menentukan qada’ dan qadar manusia. Hal ini penting dalam pengurusan organisasi. Contohnya kenaikan pangkat, ianya satu perkara yang berkait rapat dengan daya ikhtiar dan dedikasi kakitangan pengurusan organisasi serta qada’ dan qadar Allah s.w.t. Keimanan terhadap qada’ dan qadar itu menjadikan seseorang kakitangan akan bersyukur jika dia dinaikkan pangkat dan bersabar jika tidak mendapatnya.[39]

Dari sudut yang lain, ianya membawa maksud keupayaan untuk mengawal nafsu yang membawa kejayaan jangka panjang kepada seseorang khususnya kakitangan pengurusan organisasi. Keupayaan mengawal nafsu menjadikan seseorang itu tidak tamak, gelojoh, dan gelap mata apabila diamanahkan dengan pengurusan wang dan harta awam. Kebiasaannya, sifat itulah yang mendorong seseorang kakitangan terlibat dengan rasuah, penyalahgunaan wang awam, penipuan dan sebagainya.[40] Firman Allah s.w.t. (18:28) :

28. Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang yang menyeru Tuhannya pada waktu pagi dan petang dengan mengharap keredaan-Nya dan janganlah kedua matamu berpaling dari mereka (kerja) yang mengharapkan perhiasan kehidupan dunia ini dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami, serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melewati batas.

Sifat sabar adalah sifat mulia yang perlu dihayati oleh setiap kakitangan pengurusan organisasi kerana ianya dimiliki oleh para rasul. Kesabaranlah yang membimbing seseorang mencapai kejayaan setelah mengalami penderitaan, kesakitan, ketakutan, kelaparan, kerugian, kehilangan harta, dan sebagainya.[41]

5.13 Toleransi

Toleransi ialah menerima perbezaan tanpa merasa iri hati, marah, dan dendam. Ia meliputi semua bidang dan peringkat pengurusan organisasi seperti dari segi perbezaan pendapat dan sebagainya. Dalam pengurusan organisasi, toleransi penting untuk mewujudkan dan mengekalkan suasana kerja yang harmoni, mesra, dan menyeronokkan.[42] Firman Allah s.w.t. (2:256)

256. tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

5.14 Kebaktian

Tiada yang lebih berharga dalam kehidupan manusia ini apabila meluasnya kasih sayang, tolong- menolong dan saling bantu-membantu antara satu sama lain. Masing-masing boleh berbakti samada dengan harta dan wang ringgit, tenaga, nasihat, simpati, dan sebagainya. Setiap manusia boleh berbakti mengikut kadar kemampuannya.[43] Firman Allah s.w.t. (3:92) :


92. kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.

Bagi yang alim dan mempunyai pelbagai jenis ilmu pengetahuan serta kemahiran wajar berbakti dengan ilmu dan kepakarannya. Ia juga dikira sebagai amal jariah. Semua hal ini penting dalam pengurusan organisasi bagi meningkatkan lagi kecekapan, kemahiran dan kualiti pengeluaran. Oleh sebab itu, ia dijadikan salah satu daripada nilai dan etika pengurusan.[44]

5.15 Pemaaf

Salah dan silap merupakan satu daripada fitrah manusia. Salah dan silap tidak semestinya disengajakan. Justeru itu, jika ia berlaku tanpa niat dan tanpa disengajakan, perbuatan tersebut harus dimaafkan. Dalam pengurusan organisasi, kemaafan digalakkan oleh Islam untuk memberi peluang kepada kakitangan yang melakukan kesilapan memperbaikinya. Tetapi ia wajar diulangi oleh kakitangan yang telah dimaafkan. [45]Firman Allah s.w.t. (24:22) :

Ÿ

22. dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

5.16 Kejahatan dibalas kebaikan

Sifat iri hati, hasad dengki, dendam, dan sebagainya merupakan nafsu yang ada dalam diri manusia. Pada keseluruhannya, ia boleh merosakkan diri seseorang jika tidak dikawal. Dalam mengawal sifat-sifat ini, Islam telah menggalakkan agar seseorang itu membalas kejahatan atau penganiayaan orang terhadap dirinya dengan kebaikan. Hal ini bukan mudah untuk dilakukan kerana orang yang teraniaya itu telah menderita dari segi fizikal dan jiwanya. Tetapi itulah bukti kemuliaan budi dan akhlak seseorang. Demikian juga dalam pengurusan organisasi. Matlamatnya adalah untuk mengeratkan silaturahim dan perpaduan agar organisasi menjadi lebih kukuh dan dapat memberikan perkhidmatan yang berkualiti dan cemerlang kepada umat Islam.

5.17 Nilai diri

Meningkatkan mutu kerja dan kualiti hasil pengeluaran merupakan salah satu tanggungjawab dan tugas seseorang pekerja untuk menuju kecemerlangan. Salah satu caranya ialah dengan menilai kelemahan diri, kekurangan, kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Pihak pengurusan atau pihak lain tidak berkesempatan untuk mengawasi seseorang pekerja. Justeru itu, dengan menilai diri setiap masa akan membantu pihak pengurusan meningkatkan mutu kerja dan kualiti hasil pengeluaran.

Dalam Islam digunakan istilah “muhasabah” iaitu menyenaraikan segala kelemahan diri yang pernah dilakukan dan berusaha untuk mengatasi dan mengelakkan mengulanginya.[46]

5.18 Kesyukuran

Sifat ini harus ada dalam setiap kakitangan pengurusan. Hal ini penting untuk membantu organisasi mencapai matlamatnya dalam keadaan yang harmoni, aman, dan baik. Dengan sifat ini, seseorang kakitangan organisasi akan berasa aman, sejahtera, dan bahagia dari segi jiwanya rahmat dan nikmat yang diberikan Allah s.w.t. Dia seharusnya melihat nasib orang yang berada lebih rendah daripadanya, bukan melihat orang yang lebih tinggi daripadanya. Sifat ini bukan sahaja menghilangkan perasaan dengki, iri hati, sebaliknya berusaha dalam kadar keupayaan untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan dari semasa ke semasa dengan perasaan gembira, bahagia, dan bersyukur.[47]

6.0 Kaedah melaksanakan nilai-nilai etika dalam organisasi[48]

Terdapat banyak kaedah dalam melaksanakan nilai-nilai etika dalam organisasi, antaranya :

6.1 Membentuk pengawalan etika di tempat kerja

Untuk meningkatkan amalan etika di syarikat, syarikat-syarikat perlu membentuk kawalan etika dan kaedah-kaedah kawalan tersebut bagi kerja-kerja harian samada untuk pengurus atau pekerja. Organisasi boleh mengambil beberapa tindakan untuk memberi kesedaran etika kepada pekerja, antaranya :

6.1.1 Kod etika

Merupakan satu kenyataan bertulis untuk dijadikan garis panduan kepada pekerja dan pengurus apabila mereka mengalami masalah etika seperti menerima hadiah daripada pembekal, mengambil saudara terdekat bekerja dan sebagainya. Banyak kod etika mengandungi perkara-perkara yang menjelaskan tentang kejujuran, integrity, perasaan hormat dan keadilan. Sebagai contoh, kod etika yang mengarah pekerja untuk berlaku adil, jujur dan bertanggungjawab terhadap semua pelanggan. Untuk mendapat keberkesanan daripada kod etika tesebut, denda atau hukuman perlu dikenakan terhadap sesiapa yang melanggar kod etika yang telah ditetapkan. Kod etika perlu disemak supaya ia selaras dengan perubahan persekitaran. Walau bagaimanapun, terdapat kelemahan dalam melaksanakan kod etika kerana ia lebih menjaga hak syarikat dari menjaga pekerja dan orang awam.

6.1.2 Komiti etika

Membentuk jawatankuasa etika untuk memberi garis panduan terhadap perkara-perkara etika. Kod etika yang berkesan biasanya dilakukan dalam keadaan yang terbuka dengan melibatkan pekerja-pekerja.

6.1.3 Pegawai etika

Mewujudkan tugas pegawai etika. Umpamanya untuk hotline etika, latihan dan lain-lain.

6.1.4 Orang tengah

Ia dilantik bertujuan menerima atau mendengar masalah-masalah daripada pekerja berkaitan dengan masalah etika, di mana masalah tersebut tidak diberitahu secara terus atau enggan diberitahu kepada penyelia-penyelia.

6.2 Mengadakan program etika yang menyeluruh

Perkara penting dalam reka bentuk yang efektif untuk etika adalah dengan menyatupadukan perkara-perkara yang dapat mengawal atau berkaitan dengan peningkatan nilai-nilai etika. Ia dilakukan dengan program yang menyeluruh, iaitu dengan menggabungkan kod etika, komoti etika, pegawai etika, dan orang tengah etika. Mereka yang bekerja di syarikat yang mempunyai program etika yang menyeluruh biasanya akan[49] :

6.2.1 Melihat dan merasakan syarikat bertanggungjawab untuk beretika kepada kepada semua pemegang kepentingan.

6.2.2 Mempunyai persepsi yang lebih baik terhadap kerja dan lebih tinggi komitmen untuk beretika.

6.2.3 Melaporkan tindakan tidak beretika.

6.2.4 Berpuas hati dengan siasatan syarikat dan bertindak balas dengan tindakan tidak beretika.

6.3 Memberi ganjaran kepada organisasi yang beretika

Syarikat yang beretika harus diberi penghormatan atas daya usaha mereka membentuk suasana beretika dan meningkatkan keupayaan untuk beretika. Syarikat ini mempunyai strategi dalam menyelesaikan masalah seperti masalah etika, mempunyai program dan berusaha dengan ikhlas dan menyeluruh dalam syarikat, dan menonjol dalam salah satu aspek etika. Galakan dalam bentuk memberi ganjaran untuk beretika ini dapat dilakukan sebagaimana galakan terhadap peningkatan kualiti dalam sesebuah organisasi.

Rumusan

Sesungguhnya nilai dan etika kerja yang dikemukakan oleh Islam lebih menyeluruh dan sempurna. Islam lebih menekankan nilai-nilai kerohanian kerana Islam telah mengenal pasti musuh utama manusia ialah nafsu dan syaitan. Justeru itu, nilai-nilai tersebut merupakan perisai yang dapat mengawal nafsu dan menolak godaan syaitan.



[1] S Hadi Abdullah, Management in Malaysia, Malaysia Institute of Management, Kuala Lumpur, 2001, hlm. 314.

[2] Ibid.

[3] Ibid.

[4] Mustafa Haji Daud, Pengurusan Islam, Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd, Kuala Lumpur, 1994, hlm. 128.

[5] Jaafar Muhamad, Asas pengurusan, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd, Selangor, 2003, hlm. 1.

[6] Jaafar bin Muhamad, Asas pengurusan, hlm. 5.

[7] Ibid, hlm. 6.

[8] Jaafar bin Muhamad, Asas pengurusan, hlm. 6.

[9] Ibid, hlm. 7.

[10] Ibid.

[11] S Hadi Abdullah, Management in Malaysia, hlm. 315.

[12] Ibid, hlm. 316.

[13] Ibid.

[14] S Hadi Abdullah, Management in Malaysia, hlm. 316.

[15] Khalid Ahmad, Malaysian management styles, Asean Academic Press, United Kingdom, 2005, hlm. 105.

[16] Khaliq Ahmad, Malaysian management styles, hlm. 106.

[17] Khaliq Ahmad, Malaysian management styles, hlm. 107.

[18]Khaliq Ahmad, Malaysian management styles, hlm. 108.

[19] Ibid.

[20] Ibid.

[21] Ibid, hlm. 109.

[22] Khaliq Ahmad, Malaysian management styles, hlm. 109.

[23] Khaliq Ahmad, Malaysian management styles, hlm. 110.

[24] Khaliq Ahmad, Malaysian management styles, hlm. 110.

[25] Ibid, hlm. 111.

[26] Ibid.

[27] Khaliq Ahmad, Malaysian management styles, hlm. 114.

[28] Mustafa Haji Daud, Pengurusan Islam, hlm. 147.

[29] Syed Othman Alhabshi, Islam, ekonomi, dan pengurusan, Penerbitan Hizbi, Petaling Jaya, 1989, hlm. 137.

[30] Muhammad Abd. Rauf, Ummah the Muslim nation, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1991, hlm. 137.

[31] Mustafa Haji Daud, Pengurusan Islam, hlm. 148.

[32] Syed Othman Alhabshi, Islam, ekonomi, dan pengurusan, hlm. 72.

[33] Mustafa Haji Daud, Pengurusan Islam, hlm. 149.

[34] Dato’ Hassan Ibrahim, “Memahami dan menghayati nilai-nilai Islam dalam pentadbiran dan pengurusan organisasi”, Seminar pengurusan dan pentadbiran Islam. Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 1989, hlm. 3.

[35] Mustafa Haji Daud, Pengurusan Islam, hlm. 150.

[36] Mustafa Haji Daud, Pengurusan Islam, hlm. 150.

[37] Ibid, hlm. 151.

[38] Mustafa Haji Daud, Pengurusan Islam, hlm. 151.

[39] Mustafa Haji Daud, Pengurusan Islam, hlm. 152.

[40] Ibid.

[41] Syed Othman Alhabshi, Islam, ekonomi, dan pengurusan, hlm. 72.

[42] Mustafa Haji Daud, Pengurusan Islam, hlm. 153.

[43] Ibid.

[44] Dato’ Hassan Ibrahim, “Memahami dan menghayati nilai-nilai Islam dalam pentadbiran dan pengurusan organisasi”, Seminar pengurusan dan pentadbiran Islam, hlm. 4.

[45]Mustafa Haji Daud, Pengurusan Islam, hlm. 154.

[46] Mustafa Haji Daud, Pengurusan Islam, hlm. 155.

[47] Ibid.

[48] Jaafar Muhamad, Asas pengurusan, hlm. 10.

[49] Jaafar Muhamad, Asas pengurusan, hlm. 11

No comments: