Wednesday, March 19, 2008

Kaedah Dan Corak Pemerintahan Islam

Pendahuluan

Kepentingan pemimpin dalam sesebuah masyarakat atau institusi tidak dapat dipertikaikan kerana tanpa pemimpin sesebuah masyarakat atau institusi atau badan tidak akan dapat berjalan dengan lancar. Justeru itu Agama Islam sebagai satu agama yang diwahyu oleh Allah kepada RasulNya dan diperintahkannya menyampaikan kepada manusia dan jin demi untuk kebahagiaan dan keselamatan mereka didunia dan akhirat memberi perhatian yang berat kepada masalah ini. Malah Islam mengganggap kewujudan pemimpin dalam sesebuah masyarakat atau badan adalah suatu perkara yang tidak boleh diabaikan.

Dalam konteks Negara pula melantik seorang khalifah atau imam (Ketua Negara) adalah wajib. Justeru tanpa seorang khalifah atau imam bertanggungjawab menjalankan segala urusan yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam maka keadaan Negara akan menjadi kucar-kacir, kerana pelaksanaan hukum-hukum Islam, memungut hasil Negara, melantik qadi, menjaga keselamatn Negara, menubuh pasukan Negara, membicarakan kes-kes yang timbul, menyelesaikan perbalahan dan sebagainya, kesemuanya adalah memerlukan kepada pemimpin.

Oleh demikian itu, apabila Rasulullah wafat maka sebahagian daripada sahabat termasuk Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar telah berkumpul disuatu tempat yang bernama Saqifah Bani Sa’dah untuk membincangkan tentang perlantikan khalifah. Apabila mereka berselisih pendapat tentang siapakah dan dari golongan manakah khalifah perlu dilantik maka orang-orang Ansar telah mengusul supaya khalifah itu dilantik seorang daripada puak Ansar dan seorang lagi mengatakan dari golongan Muhajirin. Tetapi cadangan ini telah dicanggah oleh Saidina Abu Bakar dengan menghujjahkan bahawa orang arab tidak akan patuh melainkan kepada pemimpin orang Quraisy. Mendengar kepada hujjah tersebut maka kesemua mereka yang hadir dengan sebulat suara telah melantik Saidina Abu Bakar untuk menjadi khalifah.
Andainya perlantik khalifah tidak wajib nescaya para sahabat tidak akan bertindak sewenang-wenangnya membincangkan perkara itu, apatah lagi pada ketika itu jenazah Rasulullah masih belum dikebumikan.

KAEDAH DAN CORAK PEMERINTAHAN ISLAM

Pemerintahan Islam berbeza dengan pemerintahan manapun di dunia ini. Dengan demikian, pemerintahan islam tidak mungkin digolongkan kedalam salah satu corak pemerintahan dunia yang pernah ada. Pemerintahan Islam tidak ada bandingannya.

Pemerintahan Islam yang terikat dengan keharusan mengambil al-Quran menjadi “undang-undang dasarnya” tidaklah serupa dengan Pemerintahan Otokrasi dan tidak serupa pula dengan Pemerintahan Konstitusi, kerana Pemerintahan Konstitusi tunduk kepada undang-undang dan peraturan-peraturan buatan manusia.

“Sungguh pun tugas Pemerintah Islam untuk menegakkan agama, namun dia bukanlah sama dengan Pemerintahan Teokrasi, kerana Pemerintahan hanya pada jemaah ummat. Andaikata Pemerintahan Islam itu Pemerintahan Teokrasi, sudah tentu para Khalifah akan berbuat sesuka hatinya. Tetapi, para Khalifah dan semua pembesar Negara, terikat dengan nas al-Quran dan Sunnah” (al-Marhum Abdul Kadir).

Sungguh pun organisasi Negara Demokrasi, mirip dengan organisasi Negara Islam, dalam hal keharusan memilih Kepala Negara, keadilan, persamaan dan kemerdekaan, namun bahawa organisasi Negara Islam berbeza dengan organisasi Negara Demokrasi, kerana Negara Islam membatasi kemerdekaan pemerintah dan rakyat sampai pada had hawa nafsu dan shahwat. Keadilan dan persamaan tidak boleh dikonsepkan sesuka hati menusia. Dalam hal ini Islam telah menetapkan garis nyata dan dasar tegas. Sedangkan demokrasi memberi manusia kebebasan penuh, tanpa satu ikatan.
Sunguh pun organisasi Republik menyerupai organisasi Islam dalam hal pemilihan Kepala Negara, namun nyatanya bahawa tidak satu organisasi Republik pun yang membolehkan pemilihan Kepala Negara untuk seumur hidup, seperti halnya dengan organisasi Islam.

Antara organisasi Islam dengan organisasi kediktatoran manapun, tidak ada perserupaan sedikit jua pun, kerana organisasi Islam bersendikan “Bai’at dan Syura”, adanya batas jelas antara pemerintah dengan rakyat dan kebolehan memecat Kepala Negara, sedangkan dalam organisasi kediktatiran sedikitpun tidak ada yang demikian.[1]

Pemimpin yang unik dan ajarannya yang bersifat universal.

Keistimewaan lain yang sungguh mengagumkan, ialah pimpinan yang diberikannya adalah unik, berbeza dari segala pemimpin-pemimpin besar dunia yang lainnya. Jika pemimpin yang lainnya muncul sebagai lambang bagi karakter bangsanya, dan timbulnya merupakan puncak bagi sifat-sifat yang hidup di kalangan bangsanya itu, Nabi Muhammad berlain sama sekali ciri-ciri yang dapat digambarkan dari bangsa Quraisy.

Pemerintah dalam erti kita fahami, iaitu orang yang mempunyai kuasa dan tapak pemerintahannya, mempunyai rakyat yang menjadi warganegaranya, mempunyai kekuatan tentera yang mempertahankan perbatasannya, mempunyai undang-undang Negara yang mengawal kesejahteraan dan keadilan masyarakatnya, mempunyai jentera pemerintahan yang melaksanakan pentadbiran dan undang-undang Negara. Negara yang berdaulat dan berperlembagaan.[2]


Stuktur Pemerintahan

Pemerintahan Negara Islam dijalankan oleh seorang Ketua Negara melalui tiga badan kuasa iaitu Badan Perundangan, Badan Pelaksanaan dan Badan Kehakima dengan dinasihati oleh beberapa individu yang menganggotai Badan Syura.

Gelaran Ketua Negara

Dalam sejarah pemerintahan Islam hanya terdapat tiga gelaran sahaja yang dikhususkan bagi seorang Ketua Negara, sama ada ia dipanggil al-Khalifah, atau Amir al-Mu’minin atau al- Imam. Ketiga-tiga gelaran ini mempunyai latar belakang politiknya yang tersendiri.[3]

Badan Syura

Menurut tradisi sistem zaman pemerintahan Islam di zaman Rasulullah dan zaman-zaman Khulafa’ al-Rasyidin bahawa baginda dan khulafa’nya sering mengadakan permusyuaratan dan meninjau pendapat mengenai masalah yang menyentuh kepentingan rakyat. Dari tradisi ini dapat dilihat bahawa sudah terdapat satu badan yang berfungsi memberi pandangan kepada Ketua Negara. Badan ini sering disebut-sebut oleh penulis-penulis Islam sebagai Badan Syura. Keanggotaan badan ini tidaklah dibataskan bilangannaya malahan ia didedahkan kepada keperluan semasa dan kepentingan isu-isu yang akan dibincangkan.

Dalam isu yang berkaitan dengan bidang-bidang ikhtisas tertentu atau bidang akademik, Ketua Negara dikehendaki bermesyarat dengan ahli-ahli ikhtisas dan para ulama’.[4]


Badan-badan Berkuasa

Badan Perundangan
Badan Pelaksana (Pemerintah)
Badan Kehakiman

Badan Perundangan

Mengadakan peraturan-peraturan bagi maksud pelaksanaan hukum yang telah diputuskan dalam al-Quran dan Sunnah.
Dalam kes-kes yang terdapat beberapa andaian pengertian (tafsiran) terhadap teks al-Quaran dan Sunnah maka badan ini adalah bertugas untuk memilih satu tafsiran yang sesuai dengan keperluan semasa dan kepentingan umum.
Didalam isu-isu yang tidak terdapat hukumnya dari al-Quran dan Sunnah tetapi terdapat prinsip-prinsip umum yang ada kaitan dengan isu-isu itu maka badan ini bertugas mendapatkan hukum-hukum baru dengan berpandukan kepada prinsip-prinsip umum itu, atau memilih salah satu hukum yang terdapat di dalam kitab-kitab fiqh lama.
Di dalam isu-isu yang langsung tidak terdapat prinsip-prinsip umum al-Quran dan Sunnah maka badan ini bolehlah berusaha mendapakan dengan syarat hukuman itu tidak bertentangan dengan hukum-hukum lain atau bertentangan dengan prinsip umum syara’ yang ada.

Badan Pelaksana

Kekuasaan badan ini dipegang oleh Ketua Negara. Beliau dibantu oleh gabenor-gabenor dan jemaah menteri Negara. Mereka ini pula dibantu oleh ketua-ketua tentera, pegawai-pegawai keamanan, percukaian dan lain-lain kakitangan kerajaan.

Beban tugas badan ini ialah mentadbir urusan Negara menerusi ke semua Jabatan Kementrian seperti kewangan, pelajaran, peperangan atau pertahanan, pertanian, ekonomi dan lain-lain serta mengurus hal-hal yang berhubung dengan perjawatan, seperti melantik pegawai-pegawai di semua peringkat perjawatan atau memecat mereka menurut keperluan siasah ummah dan polisi pentadbiran Negara di dalam usah mewujudkan satu suasana untuk tujuan menegakkan hukum Islam.

Dengan lain-lain perkataan, Ketua Negara bersam-sama pembantunya menjalankan kerja-kerja pentadbiran Negara menurut keperluan siasah ummah ke arah menegakkan hukum Islam yang tidak melibatkan bidang-bidang perundangan dan kehakiman.

Sebenarnya tidak ada satu bentuk yang khusus bagi susunan badan pentadbiran ini. Islam tidak menghalang apa sahaja bentuk asalkan badan itu di dalam tugas kebebasan asasi mereka serta dapat pula mereka menikmati keadilan dan persamaan yang dikehendaki oleh Islam.

Badan Kehakiman

Kuasa dan tugas badan ini juga dipegang oleh Ketua Negara yang bersama-sama orang-orang yang telah diberikan mandat untuk menjalankan tugas yang sama. Untuk memegang jawatan qadi seseorang dikehendaki memenuhi beberapa syarat:

Lelaki yang sudah baligh
Waras fikiran
Bebas
Beragama Islam
Bersifat benar, amanah, bersih perjalanan hidupnya dan mempunyai maruah
Sempurna penglihatan dan pendengaran
Berilmu dengan erti mengetauhi hukum-hukum Islam dan mampu berijtihad

Tugas seorang qadi pada peringkat awalnya ialah menyelesaikan kes-kes perkelahian dan perbalahan yang berlaku dikalangan individu masyarakat Islam. Tetapi selepas itu bidang tugasnya telah diperluaskan sehingga meliputi pengurusan hal orang-orang yang ditahan mentadbir harta benda dengan sebab gila atau bodoh mengendalikan urusan anak-anak yatim, orang-orang yang miskin, harta-harta wasiat dan wakaf orang-orang Islam, kes-kes jenayah hudud seperti curi, zina dan jenayah ta’zir. Sebenarnya pengendalian bidang jenayah tersebut pada permulaannya adalah menjadi ikhtisas pemerintah yang kadang-kadangnya dikira juga sebagai ikhtisas pegawai keselamatan Negara.

Pada asasnya tugas seorang qadi ialah menentukan hukuman serta menjalankannya dalam sebarang kes perbalahan yang dibentangkan berdasarkan kepada apa yang terdapat di dalam sumber-sumber perundangan Islam yang telah dipersetujui oleh para ulama’ iaitu al-Quran dan Sunnah, Ijmak dan Qias. Kemudian bidang tugasnya telah diperluaskan seperti yang diterangkan.

Perlantikan dan pemecatan seorang qadi merupakan tugas yang dijalankan oleh Ketua Negara. Tetapi kadang-kadang Ketua Negara menyerahkan kuasa itu kapada gabenornya atau kepada Qadi al-Qudahnya.

Sesorang qadi mempunyai kebebasan penuh dibidang kehakiman. Ia diharuskan berijtihad untuk mendapat hukum dalam kes-kes tertentu. Sewaktu mengendalikan suatu perbicaaran, seorang qadi diharuskan berbincang dengan ahli-ahli fiqh (perundangan) lainnya sebelum menjatuhkan atau memutuskan hukuman dalam kes dibentangkan kepadanya.

Apa yang jelas, di akhir catatan berhubung dengan badan-badan berkuasa ini, bahawa dalam Islam tidak terdapat prinsip pemisahan kuasa-kuasa seperti yang kita dapati dalam sistem pemerintahan lainnya, seorang Ketua Negara Islam bertindak sebagai Ketua Negara ketiga-tiga badan berkuasa tersebut; beliau adalah Badan Perundangan dan juga beliau juga adalah Ketua Badan Pelaksanaan dan Kehakiman.[5]

Kepimpinan dan Keketuaan

Kedua-dua perkara ini mempunyai banyak persamaan dalam aspek-aspek yang tertentu. Pemimpin dan ketua memegang jawatan tertinggi dalam satu-satu organisasi. Mereka juga mempunyai outoriti ke atas orang yang dipimpinnya. Meskipun begitu dari segi strukturnya, ketua adalah lebih kecil dari pada pemimpin. Seseorang ketua mempunyai kuasa yang terbatas mengikut keadaan suasana kerja, undang-undang profesionalnya. Beliau juga bertanggungjawab mengawas pekerjanya menjalankan tugas sejajar dengan arahan dan peraturan-peraturan yang diberi. Dalam erti kata ini hubungan dengan orang bawahannya terjalin diatas asas pengkhususan tugas dan tanggungjawab yang tersabit dengannya. Ketua mempunyai kuasa tertentu yang membolehkan dia mengeluarkan arahan-arahan tertentu kepada orang-orang dibawah jagaannya. Mereka akan dikenakan tindakan sekiranya arahan-arahan ketua mereka ingkari.

Manakala pemimpin pula mempunyai bidang kuasa lebih luas. Seseorang pemimpin boleh menggunakan kewibawaannya bagi tujuan mempengaruhi orang bawahannya dalam hal kepatuhan kepada pemimpin menerima segala yang diberi dengan rela hati tanpa sebarang paksaan. Ini berti bidang kuasa seseorang pemimpin tidklah terbatas pada sesuatu kelompok sahaja bahkan ia menjangkau lebih luas dari itu.

Seseorang ketua tidak dapat menjalankan tugasnya dengan sempurna apabila ia beranggapan bahawa jawatan itu sendiri mempunyai kuasa yang kononya kuasa itu boleh mempengaruhi rakyat untuk patuh dan tunduk kepada pemimpinnya tanpa sebarang usaha dirinya sendiri. Seorang pemimpin yang berjaya ialah mereka yang mampu memimpin jemaahnya dengan cara menyokong dan bertindak apa yang disenangi oleh jemaah.

Bentuk-bentuk Kepimpinan

Tokoh-tokoh pengurusan dan pakar jiwa kemasyrakatan bersependapat bahawa tidak terdapat sebarang bentuk kepimpinan yang tertentu yang mesti diikuti oleh seseorang pemimpin itu untuk mencapai matlamatnya. Tidak juga terdapat contoh yang ideal yang boleh dijadikan contoh utama kepimpinan yang boleh dijadikan ukuran sepanjangan masa dan tempat. Apa yang dimaksudkan dengan kepimpinan sebenarnya ialah peranan-peranan tertentu yang dimainkan oleh seseorang pemimpin dalam situasi dan keadaan tertentu yang merangkumi persoalan kemanusiaan dan juga berkaitan dengannya.[6]

R. Lipitt dan R. White telah menjalankan kajian mengenai bentuk-bentuk kepimpinan yang lebih berkesan dalam menggerakkan kumpulan kepimpinan, mendapati wujudnya tiga cara kepimpinan iaitu kepimpinan demokratik, authoritarian dan laissez faire. Ketiga-tiga cara kepimpinan ini diuji ke atas tiga kumpulan dalam masa tujuh minggu dengan menentukan peranan tertentu yang wajib dipatuhi seorang pemimpin.

1-Peranan Kepimpinan Demokrasi

Dalam corak kepimpinan bentuk demokrasi ini, segala keputusan adalah hasil dari suara ramai. Ketua hanya mempengerusikan suatu perbincangan sambil memberi peluang kepada setiap anggota jemaah kebebasan mengeluarkan pendapat. Demikian juga dalam bidang pekerjaan, setiap orang bebas memilih siapa yang akan menjadi rakan kongsi dalam suatu pekerjaannya. Pemimpin boleh menyarankan pendapat dan cadangan menerusi beberapa orang wakil daripada jemaah tidak hanya bergantung pada pendapatnya semata-mata. Sikap bekerjasama dan berjiwa rakyat hendaklah wujud pada pemimpin, serta menyedari dirinya sebagai salah seorang anggota masyarakat.

2-Peranan Kepimpinan Autokrasi

Kepimpinan dalam bentuk ini, kuasa mutlak berada ditangan pemimpin. Segala perancangan dan perlaksanaan ditentukan oleh pemimpin tanpa mengambil mandat daripada orang ramai. Arahan pelaksanaan kerja disampaikan kepada pekerja-pekerja secara berperingkat di mana kalangan mereka sendiri tidak tahu perancangan dan matlamat akan datang. Pemimpin sendiri mengagih-agihkan kerja di mana segala arahannya berbentuk diktator. Demikian juga dalam usahanya bagi menyelamatkan rakyatnya. Pemimpin juga terasing daripada masyarakat, kecuali pada waktu-waktu tertentu apabila ia berasa perlu untuk berdepan dengan rakyat bagi sesuatu tujuan.

3-Peranan Kepimpinan Laissez faire

Kepimpinan bentuk ini, pemimpinnya seolah-olah tidak berperanan. Segala keputusan aktiviti dan pelaksanaan sesuatu perkara diserah bulat-bulat kepada rakyat yang menentukannya. Pemimpin hanya memainkan peranan mengemukakan maklumat tertentu atau yang perlu, di samping membekalkan rakyat dengan bahan-bahan yang perlu untuk sesuatu pekerjaan. Pemimpin tidak diperlukan untuk mengemukakan apa-apa cadangan atau membuat penilaian terhadap sesuatu pekerjaan yang selesai dikerjakan.

Pengukuhan kepimpinan

Kajian dan pemerhatian terhadap pengurusan organisasi dalam berbagai-bagai peringkat membuktikan bahawa amalan pengurusan dan kekesanannya berbeza-beza antara satu organisasi dengan organisasi yang lain. Hal ini berlaku disebabkan banyaknya ‘red tape’ di samping wujudnya unsur-unsur yang memainkan peranan dalam mendamikan atau mempermudahkan perjalanan organisasi tersebut. Ini bermakna peraturan yang lengkap, kewangan yang cukup, kemampuan tenaga yang cukup, belum menjamin kejayaan sesebuah organisasi. Sebaliknya kejayaan sesebuah organisasi itu bergantung kapada cara kepimpinan yang dilaksanakan. Berapa banyak organisasi terbengkalai pengurusannya dapat dibangunkan setelah urusan kepimpinan diperbaiki. Sebaliknya banyak pula organisasi yang maju menjadi hancur setelah pengurusannya menghilangkan diri dan tempatnya diganti oleh seorang pengurus yang tidak cekap.

Berhadapan dengan masalah-masalah seumpama inilah golongan ahli-ahli pemikiran pengurusan masa kini mengambil jalan keluar iaitu dengan menghadkan sebanyak-banyak kemahiran yang perlu sahaja dimiliki oleh seseorang pemimpin dan untuk menstabilkan kepimpinannya. Kemahiran ini termasuklah pengetahuannya berhubung dengan Susana politik dan masyarakat di mana ia ditempatkan. Antaranya:

Kemahiran berfikir dan berpolitik serta mengenalpasti setiap kumpulan yang berada di bawah pimpinannya.
Kemahiran dalam hubungan kemanusiaan dan bagi mengenalpasti jenis tugas yang disandangkan kepadanya ia haruslah mempunyai kemahiran yang ketiga iaitu kemahiran kesenian.

1-Kemahiran Berpolitik

Dimaksudkan dengan kemahiran berpolitik ialah mempunyai kejelasan perjalanan politik bagi sesuatu kepimpinan di samping mengenalpasti suasana di mana seseorang ketua itu ditempatkan. Ini termasuklah pndangan umum terhadap kepimpinan, keperibadian yang berkaliber, selok-belok pengendalian kuasa, keupayaan menarik orang ramai terhadap usaha ke arah pencapaian matlamat. Dimaksudkan dengan kemahiran berpolitik ialah kemahiran menyelesaikan masalah di antara pandangan dan tekanan atau bantahan masyarakat. Kemahiran merancang, menyediakan kelengkapan secara teliti dan cermat demi untuk menjayakan segala projek dan rangka am bagi sesuatu berdasarkan falsafah dan tuntutan masyarakat juga dianggap sebagai kamahiran berpolitik.

2-Hubungan Kemanusiaan

Kemampuan seseorang pemimpin untuk berhubung mesra dengan setiap individu dan masyrakat. Kemahiran ini merupakan suatu kemestian yang harus dimiliki oleh seorang pemimpin dalan segala urusan yang ada kaitan dengan orang ramai. Seorang pemimpin perlu mempunyai persefahaman antara jemaah pemimpinnya dan mempunyai daya penggerak terhadap mereka dalam malaksanakan sesuatu tugas untuk kepentingan organisasi. Antara lain kewajipan pemimpin terhadap pekerja di bawah pemimpinnya ialah:

· Ia hendaklah menjadi contoh teladan yang baik dalam segala perkara.
· Menjaga hubungan di samping menitikberatkan urusan terhadap rakyat pimpinan dan bertindak adil dalam segala urusan.
· Meminta pandangan orang ramai serta menghormati pendapat mereka.
· Melatih rakyat melaksanakan pekerjaan secara amanah.
· Mempunyai keyakinan terhadap keupayaan rakyat dalam melaksanakan sesuatu yang diserahkah kepada mereka.
· Sentiasa mengawasi dan memerhatikan rakyat dalam melaksanakan tanggungjawab.

3-Kemahiran Kesenian

Yang dimaksudkan dengan kemahiran kesenian ialah di sini ialah sesuatu maklumat kepakaran
yang dimiliki oleh seseorang pemimpin dan sesuatu keupayaan melaksanakan serta mempunyai kecekapan menggunakan alat-alat yang disediakan yang ada hubungan dengan professional. Seseorang ketua yang kecekapan dalam bidang pengkhususannya akan menjadi contoh kepada orang-orang bawahannya juga dijadikan pakar rujuk. Dalam hal ini ketua sentiasa disegani, dihormati dan disanjungi. Meskipun seseorang ketua itu tidak diminta supaya menjalankan sesuatu pekerjaan tertentu dalam bidang pengkhususannya lantaran tugas yang banyak, namun pengetahuan kepakaran dan kesenian amat mustahak untuk membolehkan beliau membuat sesuatu perancangan dan pengagihan kerja kepada jemaahnya. Di sampang itu beliau melaksanakan sama ada sesuai dengan matlamat yang dikehendaki atau tidak.

3.1-Tuntutan-tuntutan kepada Kemahiran Kesenian

Menyakini matlamat yang dirancang dan disampaikan dengan jelas ke pengetahuan jemaah.
Mempunyai keupayaan membuat perancangan serta penyusunan kerja.
Bertanggunjawab dengan tugas yang diamanahkan serta baik pentadbirannya.
Memajukan organisasi serta berpandangan jauh.

3.1.1-Menyakinkan matlamat yang dirancangan dan disampaikan dengan jelas.

Pengukuhan yang utama bagi seseorang ketua yang berjaya pentadbirannya ialah mempunyai keyakinan terhadap matlamat serta berjuang bersungguh-sungguh untuk menjayakannya. Sehubungan itu pemimpin-pemimpin Islam telah menunjukkan beberapa contoh yang baik dalam soal bekerja dan mengorbankan jiwa raga dan harta benda demi untuk mencapai matlamat itu. Cerita Rasulullah bersama bapa saudaranya Abu Talib merupakan yang jelas menunjukkan keyakinan baginda terhadap matlamat perjuangannya dan Iltizam baginda dengan segala usaha bagi menjayakan matlamat tersebut.

3.1.2-Keupayaan merancang dan menyusun.

Keupayaan merancang dan menyusun suatu organisasi merupakan pengukur bagi membezakan kecekapan seseorang pemimpin yang lain. Keupayaan ini merangkumi kejelasan rancangan, dasar kerja, pengagihan dan pengkhususan kerja berdasarkan keupayaan tenaga menusia dan sumber kewangan yang diperuntukkan kepada seseorang ketua.

Penyelidikan mengenai kemajuan semasa membuktikan bahawa perancangan dan penyusunan suatu kerja sangat mempengaruhi kejayaan atau gagalnya sesuatu rancangan. Kegagalan kebanyakan projek disebabkan oleh ketiadaan keseimbangan antara perancangan dan penyusunan dengan keupayaan tenaga manusia dan kewangan yang diperuntukkan.

3.1.3-Iltizam (kometmen) terhadap tanggungjawab.

Di antara cirri-ciri penting seorang pemimpin ialah mempunyai kelainan kebolehan yang berbeza dengan rakan-rakan sejawatannya yang lain. Pemimpin ialah seorang yang sentiasa kehadapan, tidak berganjak dari tanggungjawab bahkan sentiasa berusaha untuk memajukan organisasi serta bersedia memikul beban tugas, sekalipun tugas itu memerlukan pengorbanan yang besar. Iltizam terhadap tanggungjawab bererti seseorang pemimpin itu memerlukan persediaan yang cukup untuk menhadapi pelbagai kemungkinan permasalahan yang bakal datng kepadanya. Dia juga sepatutnya mempunyai sifat keberanian membuat sesuatu keputusan dan bersedia menerima risiko dari keputusan yang dibuatnya.

Kepimpinan yang cekap amat diperlukan ketika sesebuah organisasi menghadapi sebarang kesulitan pentadbiran atau berlaku sesuatu ketidakseimbangan dalam aspek masa, tenaga dan kewangan. Kepimpinan yang baik dapat mengatasi hal-hal tersebut dengan kebijaksana dengan menggunakan kebolehan dan kepakaran yang ada padanya sehingga ia dapat mengembalikan kestabilan suasana hanya mengalami kerugian yang sedikit.

3.1.4-Memajukan organisasi serta berpandangan jauh.

Tugas seorang pemimpin yang paling terkedepan ialah berusaha menggerakkan organisasi pemimpinnya agar terus maju. Seseorang pemimpin tidak seharusnya berhenti daripada berfikir dan bekerja tetapi ia harus bekerja terus demi untuk mempertingkatkan kemajuan organisasi. Ia seharusnya bijak dalam mencipta, mereka dan mengenal pasti ehwal anggota organisasinya. Di samping itu fikirannya sentiasa bergerak dalam memperbaiki kedudukan organisasinya.[7]

SIFAT YANG PERLU ADA PADA SETIAP KEPIMPINAN

Menjadi contih yang baik: Menjadi contoh yang baik merupakan kewajipan terpenting seseorang pemimpin. Beliau hendaklah menjadi teladan kepada orang di bawah kepimpinannya. Seseorang pemimpin haruslah terlebeh dahulu mendidik dirinya dengan akhlak yang mulia dan menghayati tututan-tuntutannya seperti sabar, amanah dan nasihat-menasihati sebelum ia memaksa orang lain berbuat demikian. Tingkah laku dan tutur kata pemimpin juga hendaklah sesuai dengan apa yang telah diperuntukan oleh Allah. Ini adalah berdasarkan kepada tututan Allah,

“Wahai orang-orang beriman, mengapakan kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu perbual. Amat besar kebencian di sisi Allah, kerana mengatakan sesuatu yang kamu sendiri tidak kamu memperbuatnya”. (al-Saf: 2-3)

Pengurusan yang baik, adil dan bertimbang rasa: Seseorang pemimpin seharusnya bersifat kasih sayang, lemah lembut dan adil dalam menjatuhkan sesuatu hukuman. Pemimpin juga hendaklah mengambil berat urusan rakyat, menasihati mereka apabila mereka melakukan kesalahn dan menberi semangat dan dorongan andaiannya mereka inginkan kejayaan. Berbicara dengan mereka hendaklah dengan cara yang baik hingga mereka tunduk kepada pandangan dan nasihat secara senang hati. Sifat sedemikian banyak dimiliki oleh Nabi Muhammad adan Khalifa’ al-Rasyidin. Sehubungan dengan hal ini Allah telah berfirman:

“Dan rendahkanlah sayapnya (berhina dirinya) terhadap orang yang mengikuti di antara orang-orang mukmin” (al-Syu’ara: 215)

Dasar bermesyuarat dan bekerjasama: Berundangan dengan ahli-ahli jemaah dalam sesuatu urusan merupakan suatu perkara yang wajib dilakukan oleh seseorng pemimpin, kerana pendapat ramai lagi baik dari pandangan seorang. Lagipun kemampuan akal manusia terbatas. Dasar ini dalam urusan pentadbiran sebagai salah satu dari asas pengajian Islam yang wajib diterima dan dipraktikkan dalam segala urusan pentadbiran.

Latihan: Latihan suatu tututan kemahiran kemanusiaan yang hrus ada pada setiap pemimpin. Latihan merupakan sunnah yang memainkan peranan untuk memajukan sesuatu projek untuk dengan menyediakan pekerja-pekerja yang bertanggungjawab melaksanakan segala kerja dengan sebaik-baiknya.

Penyerahan kuasa: Amalan penyerahan kuasa terhadap orang bawahan sama ada pegawai atau pembantunya dalam kepimpinan seseorang pemimpin adalah antara faktor pengukuhan kemahiran kemanusiaan. Ketua atau pemimpin adalah juga manusia yang mempunyai kemampuan dan keupayaan yang terhad. Sudah tentu mereka tidak mampu untuk memikul segala-galanya tanpa menyerah setengah urusan pentadbiran kepada gabenornya untuk selesaikan. Selanjutnya amalan penyerahan kuasa ini secara tidak langsung akan melahirkan rasa yakin gabenor terhadap keupayaan diri dan kepercayaan ketua terhadapnya. Ini akan lebih mendorong seseorang yang diserahi tanggungjawab menjalankan tugas dengan penuh amanah, dedikasi dan tekun.

Penyeliaan dan kawalan akaun: Penyeliaan dan pentaksiran adalah perlu dalam pengurusan dan ada kaitan langsung dengan kemahiran kemanusiaan. Ia merupakan suatu kesinambungan kepada tatacara penyerahan kuasa daripada seorang ketua kepada pegawai-pegawai bawahannya. Beliau hendaklah menyemak dan menilai segala kerja yang diserahkan.


Kesimpulan

Perbicangan mengenai kepimpinan pengurusan dalam Islam dapatlah disimpulkan bahawa sifat-sifat keistimewaannya adalah seperti berikut:

Kepimpinan adalah berbentuk sederhana dalam semua aspek. Ini bermakna segala hak dan kewajipan setiap individu dan jemaah Islam diagih secara adil dan sama rata dalam bentu sederhana- tidak terlampau keras dan tidak pula terlalu lemah-lembut- tidak juga secara paksaan melampau.
Kepimpinan dalam Islam ialah kepemimpinan kemanusiaan yang sentiasa mengambil berat dalam mengawal dan menjaga kehormatan menusia, menjamin segala keperluan mereka dan memperbaiki segala urusan perhubungan mereka.
Kepimpinan Islam berbentuk kepimpinan jama’ie. Tidak ada perbezaan antara pemimpin dengan yang dipimpin kecuali tugas dan tanggungjawab yang amat berat yang dipertanggungjawabkan kepada seorang pemimpin.
Ia merupakan kepimpinan yang mesti diyakini dan mempunyai matlamat yang mesti dihayati. Pemimpin haruslah menjadi contoh kepada semua lapisan masyarakat dalam segala hal. Ia menjadi ikutan mereka dalam hal hubungannya dengan pekerjaan, dalam memburu cita-cita dan dalam ketekunan serta pengorbanannya demi untuk mencapai matlamat.

Rujukan

A.Hasjmy, Dimana Letaknya Negara Islam, “Penerbitan Pustaka Nasional Singapura 1970”.

H. Zainal Abidin Ahmad, Sejarah Islam dan Umatnya Sampai Sekarang, “Penerbit Bulan Bintang Jakarta”.

Dr. Mat Saad Abdul Rahman, Perlembagaan Islam, “diterbit oleh Ikatan Studi Islam” UKM

Dr. Abu al-Maati Abu al-Futuhn Kahirah, Sistem Pemerintahan Dalam Islam, UKM.

Prof. Madya Dr. Ishak Mohd Rejab, Kepimpinan Dalam Islam, “Jawatankuasa Dakwah UKM”.

Ahmad Ibrahim Abu Sin, Pengurusan Dalam Islam, “Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur 2002”.
[1] A. Hasjmy (DIMANA LETAKNYA NEGARA ISLAM) “Penerbit pustaka Nasional Singapura 1970”
[2] H. Zainal Abidin Ahmad (SEJARAH ISLAM DAN UMATNYA SAMPAI SEKARANG) “penerbit Bulan Bintang Jakarta”.
[3] Dr. Mat Saad Abd. Rahman (PERLEMBAGAAN ISLAM) “Diterbit oleh Ikatan Studi Islam UKM.
[4] Dr Abu al-Maati Abu al-Futuh Kahirah (SISTEM PEMERINTAHAN DALAM ISLAM) UKM.
[5] Dr. Mat Saad Abdul Rahman (PERLEMBAGAAN ISLAM) “Diterbit oleh Ikatan Studi Islam” UKM
[6] Ahmad Ibrahim Abu Sin (PENGURUSAN DALAM ISLAM) “Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur 2002”.
[7] Ahmad Ibrahim Abu Sin (PENGURUSAN DALAM ISLAM) “Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur 2002”.

No comments: